Anwar Ibrahim akan pertahan diri sendiri di mahkamah..!!
PETALING JAYA: Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mewakili dirinya sendiri dalam perbicaraan di mahkamah.
Peguam Anwar, N Surendran, berkata perkara itu terpaksa dilakukan lantaran sekatan tidak munasabah yang dikenakan pihak berkuasa terhadap Anwar untuk bertemu peguamnya ketika di penjara.
“Sejak Ogos 2015, Anwar hanya boleh berjumpa peguamnya dalam tempoh satu jam sahaja bagi setiap tujuh hari. Ini mengarut kerana beliau mempunyai 16 kes tertangguh di mahkamah.
“Ia akan menyukarkan peguam untuk memberi pandangan perundangan kepada beliau. Justeru, selepas ini beliau akan mewakili diri sendiri di mahkamah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Surendran berkata, aduan mengenai sekatan tidak munasabah itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa, namun tidak pernah dilayan.
“Kita sudah menulis surat kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh, Ketua Pengarah Jabatan Penjara dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Semua tidak dilayan,” katanya.
Surendran yang juga Anggota Parlimen Padang Serai berkata, Anwar akan berada di Mahkamah Persekutuan esok mewakili dirinya sendiri dalam kes terhadap Utusan Malaysia.
Bekas Ketua Pembangkang itu dipenjara tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Bagaimanapun, PKR tetap dengan pendirian Anwar tidak bersalah dan mendakwa pertuduhan itu sengaja diadakan atas tujuan politik UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan