Pakatan Harapan Sabah

Pakatan Harapan Sabah
MENUJU AUTONOMI SABAH

Ahad, 9 November 2014

Perjanjian 1963 Perlu Dikaji Semula

Suara Rakyat Suara Keramat
KUCHING: Selepas 50 tahun Malaysia dibentuk, sudah tiba masanya untuk melangkah ke depan dan salah satu perkara yang harus diberi perhatian adalah untuk meneliti semula Perjanjian Malaysia 1963. Hasrat ini dibentang oleh dua ahli akademik yang mengulas dari konteks Sarawak dan Sabah masing-masing. Pensyarah Kanak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Jeniri Amir menyatakan bahawa sebahagian daripada perjanjian itu sudah tidak lagi relevan. “Kita perlu melangkah ke depan dan masuk fasa ke-dua. Sebahagian daripada 18 perkara tersebbut sudah tidak relevan lagi, antara sebabnya peredaran masa sudah berubah dan antara perkara-perkara tersebut sudah mencapai kemantapan,” kata Jeniri (bawah). jeniri Penganalisis politik tersebut memberi contoh perkara yang menyentuh bahasa, perlembagaan, pemimpin negeri dan borneonisasi yang menurutnya, tidak lagi menjadi isu. Perjanjian Malaysia, yang melingkungi 20 perkara di Sabah dan 18 perkara di Sarawak, merupakan syarat- syarat yang ditandatangani pada 1963 semasa pembentukan Malaysia daripada Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Ia sering dibangkitkan apabila sesetengah pihak mendakwa bahawa hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam perjanjian itu telah dipinggirkan. “Apa yang mungkin menjadi isu sekarang ialah soal imigresen di mana rakyat Semenanjung memerlukan kebenaran untuk masuk ke Sabah dan Sarawak serta memerlukan permit untuk bekerja di sini," tambah Jeniri. Jeniri berkata, tujuan asal perkara-perkara ini dimasukkan adalah untuk melindungi kepimpinan Sabah dan Sarawak yang dianggap masih terkebelakang. “Persoalan saya ialah, selepas 50 tahun kita membentuk Persekutuan Malaysia, adakah kita masih mahu mempertahankan perkara ini dalam konteks membincangkan 1Malaysia? Lagipun perjanjian ini tidak diukir di atas batu,” katanya. Tambah beliau, ada sesetengah ahli politik yang memperjuangkan perkara ini, sama ada daripada pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, semata-mata untuk untuk kepentingan politik. “Seolah-olah kita mempertahankan dan menggambarkan kita tidak yakin tentang diri kita… bahawa kita tidak boleh bersaing di luar. Ini cara berfikir 50 tahun lalu,” katanya. Jeniri juga memberi contoh di mana kadang kala ahli politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) disekat masuk ke Sabah dan Sarawak atas alasan mengancam keselamatan negara. “Ini secara tidak langsung dilihat seperti mempergunakan perkara 20 atau 18 ini. Perkara 6 iaitu hal imigresen harus dilaksanakan mengikut semangat asal klausa itu dan bukan untuk tujuan politik.” Jeniri berkata antara hasrat utama atau impian rakyat Sabah dan Sarawak masih menjurus kepada soal pembangunan. “Jurang perbezaan antara Sabah, Sarawak dan Tanah melayu diharapa dapat dirapatkan. Untuk sekian lama, aspirasi ini masih relevan kerana hingga kini, masyarakat di sini masih bercakap tentang bagaimana mundurnya kawasan mereka terutama dari segi ekonomi… kaum minoriti masih miskin,” katanya. Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah(UMS), Dr Zaini Othman, berkata soal rasa terpinggir ini boleh diperbaiki dengan menyemak semula apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia untuk menilai apa yang sudah belum dilaksana. "(Ini) agar persoalan kepincangan wilayah Sabah dapat diperbaiki dan seterusnya diserap ke dalam arus pembangunan nasional," kata Zaini (bawah). zaini "Saya percaya pihak kerajaan persekutuan dan negeri telah mengambil inisiatif dalam hal ini, cuma ia akan mengambil masa untuk memastikan masalah ini dapat dipulihkan sepenuhnya," tambah beliau. Bagaimanapun, Zaini berkata sudah lebih ramai pemimpin politik dari Sabah dilantik menjadi menteri-menteri kabinet dan dari segi pendidikan pula, sudah lebih banyak universiti ditubuhkan di Sabah. Ini dilihat juga sebahagian daripada langkah kerajaan untuk memenuhi 20 Perkara dalam isi Perjanjian Malaysia 1963, katanya. "Ini termasuklah perjanjian pembangunan, memastikan sumber daya manusia Sabah dibangunkan, proses ‘borneonisation’ dalam konteks Persekutuan Malaysia. Perkara ini semua sudah mengambil tempatnya cuma ia masih belum dapat dimantapkan sahaja lagi," kata Zaini. Zaini mengakui bahawa perkara dalam Perjanjian Sabah bukanlah satu perkara yang mudah dan banyak perkara yang perlu dilihat. Antara 20 Perkara yang sering menimbulkan pertikaian serta isu politik di Sabah adalah hal perihalan yang bersifat Borneonisasi, iaitu persoalan bagaimana apabila Sabah membentuk Malaysia, adakah sumber-sumber daya manusia mereka akan diangkat dan dibangunkan untuk menerajui Sabah. "Walaubagaimanapun ini bukanlah satu isu yang berterusan kerana perkara ini lebih menjurus kepada isu politik berbanding isu sosiologi. Ini dapat dilihat sewaktu pilihan raya atau ketika isu mengenai hubungan tidak baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri timbul." - Teoh El Sen dan Arfa Yunus Sumber : Astroawani Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/menilai-semula-perjanjian-malaysia-ahli-akademik-22227?cp Suara Pakatan Rakyat Sabah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan