Pakatan Harapan Sabah

Pakatan Harapan Sabah
MENUJU AUTONOMI SABAH

Khamis, 21 Januari 2016

PENYINGKIRAN MUKHRIZ JADIKAN TEORI RAHMAN KIAN HAMPIR JADI KENYATAAN

PENYINGKIRAN MUKHRIZ JADIKAN TEORI RAHMAN KIAN HAMPIR JADI KENYATAAN

Najib Razak barangkali sudah tidak ada pilihan lain lagi selain mengenepikan Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang sedang disandangnya sekarang.

Dengan 14 Ketua UMNO Bahagian, tiga daripadanya diwakili oleh Timbalan Ketua Bahagian,  mendesak pertukaran serta hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, tentu saja agak sukar bagi Najib untuk sekadar berdiam diri dan tidak memberi perhatian terhadap perkara tersebut.

Berbanding Mukhriz yang kini tinggal keseorangan dalam kepimpinan UMNO Kedah, ditambah dengan bapanya, Tun Mahathir Mohamad masih lantang mengkritik dan belum berputus asa mendesaknya berundur, Najib kini hanya ada satu pilihan saja iaitu memenuhi tuntutan kumpulan yang diketahui Ahmad Bashah itu.

Berdiam diri dan tidak memenuhi tuntutan kali ini akan berisiko mengurangkan lagi sokongan UMNO Kedah terhadap Najib kerana beliau akan dicop sebagai pemimpin yang lemah dan tidak memahami kehendak pemimpin bahagian.

Oleh itu, ada kemungkinan majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah yang baru akan diadakan seawal hari Ahad ini setelah mendapat perkenan pihak istana.

Sekurang-kurangnya dua nama sedang berebut dan melobi untuk menggantikan Mukhriz iaitu antara Ahmad Bashah Hanipah dan Ahmad Lebai Sudin.

Ahmad Bashah ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang dilantik ke jawatan itu melalui pemberian kerusi Senator selepas PRU 13 lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar serta  Adun Bakar Bata.

Ahmad Lebai Sudin pula hanya berjawatan Adun Bukit Lada, tetapi kalah dalam mengekalkan jawatan Ketua Bahagian Pokok Sena kepada Said Ali Said Rastan dalam pemilihan UMNO yang lalu.

Tetapi, pertukaran Menteri Besar Kedah ini bukan saja menjadikan "perang"  antara Najib dengan Tun Mahathir menjadi lebih terbuka dan bertambah parah, malah berkemungkinan menyebabkan BN lebih mudah terlepas penguasaan negeri itu kepada pembangkang dalam pilihanraya akan datang.

Haruslah diingat bahawa faktor terpenting kemenangan BN di Kedah dalam PRU 13 lalu adalah kerana pengaruh Tun Mahathir serta janji menjadikan Mukhriz sebagai Menteri Besar jika kerajaan Pakatan Rakyat dapat ditumbangkan.

Disebabkan faktor Tun Mahathir yang ditampilkan melalui pemilihan Mukhriz sebagai Menteri Besar beserta pergolakan dalam Pas ketika itulah maka pengundi Kedah sedia kembali memberi mandat kepada BN menerajui negeri itu.

Sebab itu, dalam kempen PRU 13 lalu hanya Mukhriz yang ditonjol, dikempen dan dijanjikan sebagai calon Menteri Besar sebelum PRU 13 dan ia tidak berlaku di negeri-negeri lain.

Penyingkiran Mukhriz hanya akan memudahkan pembangkang menawan kembali negeri itu, tambahan pula tiada ternampak "aura atau nilai tambah" untuk menggamit hati pengundi, baik jika Ahmad Bashah mahu pun Ahmad Lebai Sudin dijadikan Menteri Besar.

Bagi Pakatan Harapan dan Pas, apa yang perlu mereka lakukan hanyalah sedikit berlapang dada untuk berkompromi dan membuang ego masing-masing demi mencapai cita-cita menawan semula negeri itu.

Bagi Najib pula, sengsara politiknya akan bertambah dengan penyingkiran Mukhriz ini. Ia bukan saja membentangkan kepada rakyat sikap pendendamnya terhadap Tun Mahathir, malah yang perlu didepaninya selepas ini serangan yang lebih keras daripada bekas Perdana Menteri itu.

Bermakna dengan pertukaran Menteri Besar Kedah, akan menjadikan tiga "pemimpin terbuang"  berada bersama  Tun Mahathir iaitu Muhyiddin, Shafie Apdal dan Mukhriz dan jika mereka bergerak dengan tersusun serta terancang selepas ini, Najib bila-bila masa boleh "sesak nafas" dibuatnya.

Meskipun tanpa jawatan dalam kerajaan, rakyat akan lebih berpihak kepada mereka untuk terus berdepan dengan Najib.

Bersama isu-isu 1MDB dan wang RM2,600 juta  (atau RM4,000 juta?) yang tidak mungkin selesai dan akan terus menghimpit Najib, gelora yang dicipta di Kedah ini akan menjadikan Najib bertambah sengsara dalam penilaian rakyat atau pengundi biasa.

Dengan itu, cerita-cerita bahawa Najib sedang menjadi laluan selesa untuk mengundurkan diri sebelum PRU 14 tidak mungkin berlaku sama sekali.

Tahun-tahun mendatang sehingga PRU 14 pasti akan sarat dengan cerita-cerita politik berkaitan Najib, baik yang realiti mahu pun persepsi yang akhirnya bukan saja menjadikan teori RAHMAN semakin hampir menjadi kenyataan, malah akan membawa UMNO dan BN "berkubur" bersamanya. ( SH 20/01/2016).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan