Pakatan Harapan Sabah

Pakatan Harapan Sabah
MENUJU AUTONOMI SABAH

Sabtu, 13 Februari 2016

Bantahan terhadap cadangan kerajaan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh:

Bantahan terhadap cadangan kerajaan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh: Laksanakan gaji minima, , utamakan anak tempatan

AGARAS Sabah membantah cadangan kerajaan yang mahu membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini dan mahu supaya ia dikaji sedalam-dalamnya demi memastikan kesinambungan politik dan budaya negara ini terus terpelihara.

Saya selaku Presiden AGARAS Sabah ingin menggesa Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya menghentikan hasrat tersebut dan memikirkan kesan buruk kemasukan jutaan lagi pekerja asing ke dalam negara.

Saya juga ingin melahirkan rasa kecewa terhadap tuduhan bahawa rakyat Malaysia malas dan memilih pekerjaan. Saya amat yakin bahawa ramai rakyat kita tidak berminat untuk bekerja dalam sektor tertentu disebabkan bayaran upah yang tidak setimpal berbanding kos sara hidup yang semakin tinggi.

Akibat bayaran upah atau gaji yang tidak setimpal, kita dapati semakin ramai rakyat Malaysia telah pun berhijrah ke luar negara untuk mencari kehidupan dan pekerjaan. Media juga pernah melaporkan sekitar 3 juta rakyat Malaysia berada di luar negara mencari peluang yang lebih baik. Ini merupakan amat merugikan negara.

Di Sabah pula, semakin ramai anak-anak Sabah terpaksa berhijrah ke Semenanjung untuk mencari nafkah berikutan kekurangan peluang pekerjaan yang baik di sini.

Merujuk kepada statistik pekerja asing dari Kementerian Sumber Manusia pula, dianggarkan sebanyak 6.7 juta golongan tersebut berada di Malaysia bekerja dalam pelbagai sektor. Dari sumber kementerian itu juga, didapati sebanyak 4.6 juta tidak memiliki permit yang sah dan hanya 2.1 juta yang memiliki permit kerja yang sah.

Angka-angka ini amat mengejutkan. Saya kira, kerajan tidak perlu lagi membawa masuk pekerja luar atau pekerja asing. Cukup dengan melakukan pembaharuan polisi dan menawarkan peluang yang lebih baik kepada rakyat kita. Berikan tawaran dan peluang yang baik kepada rakyat kita di luar negara untuk menggalakkan mereka pulang ke Malaysia.

Bagi Sabah, kerajaan boleh memberikan permit kerja yang sah kepada PATI yang sedia ada di sini. Selama ini, mereka masuk dan bekerja di Sabah tanpa permit yang sah dan telah mengundang pelbagai masalah melibatkan masalah sosial, pengurusan penempatan dan sebagainya. Membawa lebih ramai pekerja asing ke Malaysia hanya akan menambahkan lagi masalah sosial dan melemahkan lagi ruang asimilasi budaya sesama rakyat Malaysia dalam usaha mengukuhkan perpaduan rakyat.

Saya yakin, dengan perubahan polisi kerajaan melaksanakan gaji minima dan kecekapan pengurusan ekonomi negara akan memberi impak positif terhadap pasaran kerja warga tempatan. Kerajaan tidak boleh menganaktirikan warga tempatan hanya semata-mata dengan alasan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja dengan gaji yang rendah.

Kita berharap pihak kerajaan Malaysia dapat memberi pertimbangan dan melihat daripada kesan negatif masa panjang sekiranya penambahan pekerja asing dibawah masuk ke negara malaysia khususnya negeri Sabah, kerana ia akan memberi lebih saingan kepada rakyat malaysia dan penggangguran rakyat malaysia akan lebih meningkat dn begitu kadar Miskin Tegar Rakyat Malaysia turut meningkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan