Pakatan Harapan Sabah

Pakatan Harapan Sabah
MENUJU AUTONOMI SABAH

Khamis, 11 Februari 2016

[GEMPAR] KEJATUHAN EKONOMI DUNIA MELETAKKAN NAJIB DALAM BAHAYA

[GEMPAR] KEJATUHAN EKONOMI DUNIA MELETAKKAN NAJIB DALAM BAHAYA – PROWARIS oleh Renee Zecha

KUALA LUMPUR, 10 Februari 2016 – Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) hari ini meluahkan kerisauan terhadap kedudukan politik-ekonomi Malaysia yang kini tertekan ekoran daripada kejatuhan ekonomi dunia.

Menurut Feriz Omar, Presiden ProWaris, “Hampir kesemua bursa saham antarabangsa jatuh tepat jam 12.00 malam tadi.  Ia menandakan seolah wujudnya persefahaman di kalangan pakar ekonomi dan ahli-ahli perbankan pelaburan bahawa ekonomi dunia akan jatuh menjunam dalam masa terdekat”.

Antara bursa saham utama yang terjejas adalah US S&P 500 (-0.64%), UK FTSE 100 (-1.16%), Germany DAX (-1.60%), France CAC 40 (-1.34%), Nikkei (-5.4%), Shanghai (-0.63%), Mexico Bolsa (-0.98%) dan Brazil Bovespa (0.56%).

Unit Ekonomi ProWaris juga melihat ‘trend’ meningkat nilai matawang USD sejak dua tahun lalu dan ‘trend’ menjunam nilai emas pasaran sejak lima tahun lalu sudah sampai tahap kemuncak dan perlukan pembetulan pasaran (market correction).

Jepun Tawar ‘Kadar Faedah Negatif Atas Pinjaman’

“Memandangkan begitu banyak laporan meramalkan kejatuhan ekonomi dunia yang dahsyat, kebanyakan negara dunia berlumba-lumba untuk mengurangkan kadar faedah atas pinjaman. Negara kuasa ekonomi ketiga besar dunia, Jepun telah mengejutkan dunia dengan mengisytiharkan kadar faedah atas pinjaman di bawah paras ‘kosong’ bagi memastikan syarikat-syarikat di Jepun berebut untuk mendapatkan kemudahan pinjaman dari institusi-institusi kewangan”, kata Feriz Omar.

Menurut Feriz Omar walaupun tindakan menguruskan ekonomi itu mampu mengelakkan ekonomi jatuh menjunam, ia akan memberi signal negatif ke atas bursa Nikei dan bursa-bursa antarabangsa lain kerana keputusan drastik lagi terdesak seolah memberi gambaran betapa dahsyatnya ekonomi dunia yang akan berlaku dalam masa terdekat.

“Kesan Jepun menurunkan kadar pinjaman di bawah kadar ‘kosong’ telah memberi impak besar kepada pasaran saham dan pasaran bond Amerika dan Eropah.  Ini adalah petunjuk pertama kepada pertumbuhan ekonomi meleset dunia sehingga mampu menjejas pendapatan luar negara sekali gus pertumbuhan KDNK Malaysia”, ujar Feriz Omar lagi.

Pengubahsuaian Bajet 2016 Tidak Ambil Kira Jika Berlaku Krisis Ekonomi Dunia

Berdasarkan penganalisaan yang dibuat oleh Unit Ekonomi Prowaris, Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan oleh Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia banyak tertumpu kepada kejatuhan harga minyak Brent dari USD48 kepada USD25 setong tetapi tidak mengambil kira jika berlakunya kejatuhan mendadak eksport negara ke Eropah dan Amerika ekoran dari krisis ekonomi dunia.

Kata Presiden ProWaris, “Yang akan menjadi mangsa adalah Rakyat yang kini lebih tertekan dengan kemelut politik yang bertalu-talu disergah dengan kerenah tidak diterima akal oleh kepimpinan Kerajaan Malaysia sepanjang setahun lalu”.

Kesilapan Terbesar Kerajaan

Feriz menerangkan bahawa pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sepatutnya dilaksanakan mengikut fasa demi fasa dan tidak boleh dilaksanakan secara serentak seperti sekarang.  Pelaksanaan serentak GST, penarikan subsidi minyak dan kerakusan Kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi telah mecelarukan sistem ekonomi Malaysia.  Tahap ‘equilibrium’ ekonomi tidak lagi seimbang dan harga penawaran tidak seiring dengan permintaan, sehingga mengakibatkan inflasi 6%-8% di bandaraya seperti Kuala Lumpur.  Pendapatan seisi rumah di Kuala Lumpur memerlukan antara RM6,000 hingga RM8,000 sebulan untuk Rakyat terus hidup.

Jumlah Rakyat Muflis Meningkat

Menurut ProWaris, kejatuhan ekonomi dunia akan mengakibatkan pembuangan dan pemotongan gaji pekerja secara besar-besaran.

“Yang paling menyedihkan ialah Rakyat Malaysia bakal merempat kerana terpaksa bersaing dengan 1.5 juta pekerja bergaji rendah dari Bangladesh tahun ini.  Akibatnya, jumlah Rakyat muflis yang kini seramai 275,000 orang (45% adalah Melayu) bakal bertambah secara mendadak” tegas Presiden ProWaris lagi.

Hutang Negara

Menurut kajian Unit Ekonomi ProWaris yang dipelopori oleh pakar-pakar ekonomi dan ahli-ahli perbankan pelaburan, hutang Malaysia kini mencecah RM847.0 billion dan menurut analisis ekonomi adalah tidak mustahil jika hutang negara mencecah RM1.0 trillion menjelang 2020.  Tegas Feriz Omar, “Malaysia bakal mengharungi suasana yang menakutkan kerana rezab negara setakat ini tidak termasuk pungutan GST 2016 hanya mampu bertahan untuk lapan setengah bulan”.

TPPA

Feriz Omar memaklumkan bahawa kebergantungan Kerajaan terhadap Perjanjian Trans Pacific Partnership (TPPA) untuk memberi impak pada pertumbuhan ekonomi Malaysia pula akan memakan masa panjang antara 5 hingga 8 tahun kerana begitu banyak perubahan akta-akta terlibat perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

ProWaris Amat Kesal

“Kami amat kesal dengan Kerajaan kerana ahli-ahli ProWaris adalah golongan Profesional Melayu yang duduk di antara Rakyat dan Kerajaan. Kami benar-benar tahu keluh-kesah Rakyat apabila kami melaksanakan polisi-polisi Kerajaan. Maka dengan  itu, kami melaporkan dan menghulurkan tangan untuk memberi nasihat terbaik kami kepada Kerajaan demi Islam, Melayu dan Malaysia tapi malangnya, hanya sebahagian cadangan kami diterima Kerajaan, lainnya ditolak bulat-bulat” tegas Presiden ProWaris. – myNEWSasia

http://mynewsasia.com/kejatuhan-ekonomi-dunia-meruncingkan-lagi-kemelut-politik-malaysia-prowaris/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan