Pakatan Harapan Sabah

Pakatan Harapan Sabah
MENUJU AUTONOMI SABAH

Jumaat, 12 Februari 2016

Memperingati 1 Tahun DSAI sebagai Tahanan Politik di Anjung Rahmat, Sg Merab, Kajang, Selangor.

Memperingati 1 Tahun DSAI sebagai Tahanan Politik
di Anjung Rahmat, Sg Merab, Kajang, Selangor.

11 Februari 2016

CATATAN

💥 Datuk Idris Jauzi

1. Kita mesti punya disiplin yang tinggi dalam perjuangan.
2. Kesetiaan beliau kepada DSAI sejak 1971 hingga sekarang tetap teguh adalah pada perjuangan murninya, bukan pada susuk tubuh badan atau fizikalnya.

Perjuangan yang murni ini:  "I will be with you"! Namun, kalau DSAI tergelincir daripada perjuangan yang murni: "I will go against you!"

💥 Sdr Fazril Salleh

1. Sheikh Dr Taha Jabir Al-Alwani dalam perjumpaannya berkata bahawa beliau tidak boleh percaya tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada DSAI, tak masuk akal lebih-lebih lagi apabila menyingkap sejarah kehidupan DSAI sejak dari zaman mudanya lagi.

2. Keadaan ekonomi sekarang makin merunsingkan dan orang muda perlu merancang dan menghadapinya dengan baik.

DSAI merupakan orang yang pandai mentadbir dan menguruskan ekonomi negara serta memperjuangkan pembasmian kemiskinan.

3. Doakan agar orang zalim akan kecundang.

4. Bangunkan idealis yang berakal budi.

5. Sukakan ilmu dan jadikannya sebagai budaya.

6. Semoga DSAI segera dibebaskan dan dapat memimpin umat!

💥 Hj. Mohammad Raimi Abdul Rahim

1. ABIM diasaskan atas dasar menegakkan kebenaran dan keadilan.

2. Merupakan satu kezaliman sekiranya kepimpinan ABIM sekarang tidak memperjuangkan untuk membebaskan DSAI selaku mantan Presiden ABIM yang jelas dizalimi dengan tuduhan liwat.

3. Perjuangan menentang kezaliman bukanlah mudah.

4. Tahun 1998, ramai yang bersama dalam kelompok reformasi namun ada di antara mereka sekarang yang berada dalam kelompok yang turut bersekongkol melakukan kezaliman, malah jumlah mereka bukan sedikit. Begitulah mereka terkabur dengan habuan dunia.

5. Suatu ketika, Hajjaj bin Yusof, Ketua Polis Kerajaan Umayyah di Syam (juga pernah menjadi Gabenor di Iraq) telah melaksanakan hukuman mati ke atas ulama Said bin Jubir yang berjuang menentang kezaliman. Sebelum itu, Hajjaj menawarkan untuk membebaskan Said sekiranya dia mahu memberhentikan perjuangannya dan sekadar mengajar agama di luar.

Said tidak bersetuju atas dasar prinsip perjuangan. Maka beliau dijatuhkan hukuman bunuh. Sebelum dibunuh, Said berDOA agar tiada lagi sesiapapun dibunuh oleh Hajjah selepas beliau mati nanti. Alhamdulillah, tiada siapa yang dibunuh oleh Hajjah selepas itu sehinggalah Hajjah mati.

6. Mesti ada di kalangan kita yang menerajui perjuangan menentang kezaliman.

7. DSAI masih relevan untuk memimpin umat dan oleh itu tanggungjawab kita ialah memperjuangkan kebebasan beliau.

8. Pelajari daripada ilmuan dan ulama bagaimana mereka berjuang.

9. Semoga DSAI menjadi pemimpin yang lebih hebat lagi apabila beliau keluar daripada penjara kelak!

💥 YB Nurul Izzah Anwar

1. Apa yang berlaku merupakan proses menuai pahala, suatu konsep yang pernah disebutkan oleh Dato' Dr Siddiq Fadhil.

2. Isu utama ialah memperjuangkan hak dan kebenaran.

3. PBB sendiri mengatakan bahawa DSAI ditahan secara haram sebagai tahanan politik dan perlu dibebaskan.

4. Ramai pemimpin di dunia yang berakhlak mulia dan berpendirian teguh dengan Islam, dizalimi oleh pemerintah.

5. Kalau mahu membebaskan Malaysia daripada kezaliman, buat betul-betul dan secara serius serta teratur.

6. Jasa dan sumbangan DSAI di negara ini antaranya penubuhan UIAM, sistem ekonomi & perbankan Islam, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan lain-lain.

7. Perjuangan ABIM mesti ada impak dan kesan terhadap masyarakat terbanyak.

8. Kekuatan DSAI dalam perjuangan ini banyak didapati dan dibina ketika beliau bersama dalam kepimpinan jamaah ABIM.

💥 Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman

1. DSAI merupakan "The most oppress politician in Malaysia".

2. Sudah tiga kali dipenjarakan sepanjang perjuangannya. Beliau pernah mencadangkan kepada DSAI sebelum keputusan dipenjarakan untuk kali ke-3 agar berhijrahlah keluar dari Malaysia seperti ke Turki dan lain-lain kerana tentu banyak peranan yang lebih besar yang boleh dimainkan oleh DSAI.  DSAI tidak bersetuju kerana isu tuduhan liwat ini mesti dibersihkan
dahulu.

3. Asas dan kerangka yang kuat telah DSAI siapkan dalam jamaah. Kita mesti teruskan perjuangan.

4. Pada tamrin pertama yang pernah beliau hadiri dalam ABIM, telah diajarkan oleh Almarhum Ustaz Fadhil Noor berkaitan kerangka Harakah Islamiyyah ini.

5. DSAI memilih untuk dipenjara atas dasar perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman daripada menerima pelbagai tawaran jawatan dan sebagainya di luar dalam keadaan zon selesa dan layanan kemewahan hidup.

6. Ramai rakan-rakan DSAI yang memilih untuk berada dalam zon selesa, boleh dianggap sebagai grup 'drop out', kerana mereka tidak mahu bersama dalam perjuangan yang murni. Setakat ini sudah berlaku 3 peringkat saringan!

7. Optimism perjuangan jangan dikaburkan. Pelajari kisah seorang bangsa Quraish, Suraqah bin Malik yang mengejar Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah tetapi dengan kuasa Allah, kudanya tersungkur 3 kali ditelan bumi dan ketika itulah beliau tahu bahawa adanya Tuhan! Akhirnya beliau menyatakan keIslamannya.

8. Persoalan bila akan menang, serah pada Allah. Berusahalah bersungguh-sungguh dengan merapatkan saf dalam gerakan membebaskan rakyat daripada kezaliman.

9. Sebelum berlakunya pertemuan Perpaduan Melayu dan Ummah di antara Dato' Fadhil Noor & Tun Dr Mahathir Mohamad di DBP, Ustaz Fadhil Noor menyebut bahawa isu kezaliman ke atas DSAI mesti terus diperjuangkan dan dibereskan sekiranya betul-betul mahukan perpaduan ummah tercapai di Malaysia.

💥 YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail

1. Pernah suatu ketika dalam satu mesyuarat IIIT di luar negara, ketika itu DSAI menjadi Menteri, taukeh hotel tempat berlangsungnya mesyuarat memberikan satu beg kepada DSAI.

DSAI buka beg tersebut dan dilihatnya penuh dengan wang. DSAI menolak pemberian tersebut. Maka disebut ketika itu oleh Syeikh Dr Taha Jabir bahawa kemungkinan DSAI akan dijatuhkan oleh orang-orang yang mahu menjaga kepentingannya kerana apa yang dilakukan oleh DSAI merupakan sesuatu yang tidak dilakukan oleh lain-lain pemimpin apabila menerima sogokan wang.

2. DSAI biasanya tidak pernah menceritakan kesusahannya dan kesakitannya di penjara.

3. Kali ini, dalam satu warkah untuk ahli keluarga, DSAI menceritakan bagaimana keheningan malam di penjara dan lampu tidak boleh dibuka dan ditutup sendiri oleh DSAI kerana suisnya berada di luar kamarnya kononnya atas isu keselamatan, sesekali DSAI mendengar jeritan banduan lain merintih di sel atasnya, disahut oleh jeritan banduan lain pada wing yang lain, namun DSAI tetap tabah tidak ikut merintih.

4. Tuduhan liwat pertama, DSAI dimasukkan ke penjara ketika berumur 51 tahun dan dipenjarakan untuk kali ke-2 ketika berumur 68 tahun. Suasana yang sukar untuk ahli keluarga, namun semoga mereka tidak patah semangat.

5. Gerakan Membebaskan Anwar dipelopori oleh ABIM pada tahun 1998 dan hinggalah sekarang.

6. Ada yang mengatakan perjuangan DSAI menegakkan keadilan dan menentang kezaliman 'is over'. Silap! Mana boleh perjuangan yang murni dihentikan.

💥 Dato' Dr Siddiq Fadhil

1. Di akhir usia ini, beliau sentiasa mengenang-ngenang kenikmatan yang Allah berikan selama ini dalam hidupnya dan antara nikmat Allah yang sangat dihargainya ialah ditakdirkan dapat bertemu dengan DSAI pada 1960an. Sekiranya ditakdirkan beliau tidak berjumpa DSAI lagi sebelum mati, sesungguhnya jasa DSAI kepada beliau sangat besar dengan memperkenalkan harakah Islamiyyah.

Kalau tidak, beliau rasa tidak menjadi seperti apa yang beliau jadi sekarang. Oleh itu, mana mungkin beliau berdiam diri bila sahabat baiknya DSAI difitnah dan dizalimi sebegitu rupa.

2. Sesiapa sahaja kalau nak mengkritik pemikiran dan gagasan DSAI, contohnya Buku Jingga dsbnya, silakan,  tetapi apabila memfitnah DSAI, ianya mesti ditentang!

3. Beliau tidak sekuat sahabat-sahabat lain kalau dipenjarakan, secara berseloroh, beliau berkata mungkin berkat kata orang tua-tua, "Pandai-pandailah menjaga diri. Jangan sampai terkurung atau tersepit. Kalau terkurung, biar di luar. Kalau tersepit, biar di atas."

4. Dr M sebenarnya seorang yang pengecut, seorang yang ahli menggunakan kekuasaannya dan
memperalatkan serta menguasai segala jentera kerajaan, tidak berani secara jantan menghadapi DSAI di gelanggang.

Itulah yang dipelajari dan diikuti oleh DS Mohd Najib sekarang sebagai seorang murid yang patuh dengan menggunakan mekanisme yang sama.

5. Bila sudah tiada kuasa, apa Dr M boleh buat? Terkini, anaknya diperlakukan sebegitu, apa yang dia boleh buat! Orang begini tidak wajar dihormati.

6. Nabi Yusof a.s. dipenjarakan namun namanya diungkapkan di dalam Al-Qur'an san disebut-sebut kebaikannya hingga sekarang.

7. Ibn Tamiyyah dipenjarakan dan mati di penjara, namun namanya tetap disebut-sebut dan dikenang hingga sekarang.

8. Mereka yang memenjarakan orang, namanya hilang tidak disebut-sebut sepertimana halnya dengan tokoh-tokoh pejuang.

9. Tokoh-tokoh pejuang tidak takut kepada penjara. Ibn Tamiyyah ketika diheret masuk ke penjara, beliau membacakan ayat Al-Qur'an, maksud Surah Al-Hadid, 57:13. "(Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman:

"Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu". (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): "Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)", serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa."

10. Sesungguhnya rahmat Allah boleh menembusi masuk ke mana sahaja. Kisah pemuda Al-Kahfi, rahmat Allah masuk ke gua selama 300 tahun! Ini bermakna, walau terpenjara, rahmat Allah tetap boleh diterima sedangkan yang berada di luar penuh gelisah dan berada dalam ketakutan.

11. DSAI pernah berkata kepada beliau dalam salah satu warkahnya, "Benar saya diasingkn jauh daripada umat tetapi saya merasa dekat dengan Tuhan."

12. Maksud Surah An-Nur, 24:19. "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

13. Yakinlah bahawa Tuhan itu hanya menangguhkan hukuman kepada mereka yang melakukan kezaliman. Allah Maha Mengetahui bila waktunya yang paling sesuai hukuman itu akan terlaksana. Kita tunggu bila akan terlaksananya dan jangan memaksa Tuhan untuk menjatuhkan hukumannya sekarang!

14. Lim Guan Eng pernah menangis ketika memasuki penjara, dapat merasakan ruginya bangsa dan negara dengan terpenjaranya DSAI. Kalau kita tidak merasa kerugian itu, maka malanglah kita.

15. Buktikanlah kalau DSAI akan dilupakan oleh rakyat! Tidak mungkin.

16. DSAI mungkin boleh dipenjarakan jasadnya tetapi mana mungkin jiwa dan perjuangannya terpenjara.

17. DSAI merupakan ilmuan yang luar biasa.

18. Keprihatinan DSAI terhadap rakyat termiskin merupakan perjuangan yang melayakkan beliau sebagai pemimpin yang hebat, rujuk buku "Asean Drama".

19. Jangan jadi seperti burung kakak tua yang hanya tahu sebut apa yang orang sebut.

20. Pernah dalam satu majlis, beliau menyebut bahawa Syeikh Dr Ahmad Ar-Raisuni dianggap membawa pemikiran maqasid (matlamat atau objektif) syariah yang terkini. Tetapi, pada majlis yang sama, DSAI menyebut bahawa Sheikh Muhammad Al-Tahir Ibn 'Asyur yang membangkitkan semula isu maqasiq syariah selepas lama ianya tidak dibincangkan. Ini bermakna, dari segi keilmuan, DSAI adalah terkehadapan.

21. DSAI bukan sekadar membaca teks ucapan tetapi beliau tahu apa yang dibacakan dan disampaikan.

22. Perlu ada usaha untuk mengumpulkan dan merumuskan pemikiran-pemikiran DSAI serta dikembangkan diskusinya.

23. Kita merupakan organisasi yang paling kaya dengan pemikiran dan intelektual, maka laksanakan agenda perkembangan intelektual.

24. Apa tandanya anak jantan? "Anak jantan matinya di gelanggang, tidurnya di puncak gelombang." Apa maknanya mati di gelanggang? Maksudnya mati dalam keadaan berjuang dan melawan
!

(shirajuddin@gmail.com)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan