Pakatan Harapan Sabah

Pakatan Harapan Sabah
MENUJU AUTONOMI SABAH

Selasa, 15 Mac 2016

MUAFAKAT SELAMATKAN MALAYSIA DAN DEMONSTRASI MANSUH GST 2 APRIL 2016

Kenyataan Media
PAKATAN HARAPAN

MUAFAKAT SELAMATKAN MALAYSIA DAN DEMONSTRASI MANSUH GST 2 APRIL 2016

Pakatan Harapan telah menetapkan bahawa usaha-usaha untuk menggembleng tenaga rakyat untuk menyelamatkan negara dari kemelut kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak mesti disegerakan. Dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 7 Mac 2016 yang lalu, kepimpinan Pakatan Harapan telah bersetuju untuk menganjurkan dua program utama yang bertujuan memfokuskan tenaga rakyat kepada tiga tuntutan utama Pakatan Harapan.

Tiga tuntutan utama itu adalah seperti berikut:

1.    Reformasi menyeluruh ke atas sistem dan institusi negara untuk memastikan kebebasan, keadilan dan keluhuran undang-undang dikembalikan selaras dengan prinsip pembahagian kuasa di antara tiga cabang kerajaan;

2.    Pembebasan segera Dato’ Seri Anwar Ibrahim lantaran dari pemulihan sistem dan institusi negara mengambil kira pendakwaan politik ke atas beliau untuk menumpulkan kekuatan Pakatan Harapan; dan

3.    Dato’ Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan dengan segera dan badan-badan yang bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas dan mendakwa beliau jika ada asas yang kukuh di sisi undang-undang.

Untuk mengumpulkan seluruh kekuatan rakyat dari pelbagai latar belakang dan kumpulan; serta mengambil kira perkembangan politik mutakhir ekoran peristiwa Deklarasi Rakyat, Pakatan Harapan akan menganjurkan himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia yang akan menjelajah dari satu negeri ke satu negeri.

Muafakat Selamatkan Malaysia adalah satu perhimpunan yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan melibatkan pidato tokoh/aktivis, deklamasi puisi, persembahan dan aktiviti-aktiviti lain ke arah membina gelombang rakyat mendesak tiga tuntutan tadi dipenuhi. Selain itu, kaunter-kaunter untuk menandatangani petisyen Deklarasi Rakyat, petisyen Membuka Siasatan Terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak dan petisyen pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga akan disediakan.

Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia yang pertama akan diadakan pada hari Rabu, 23 Mac 2016 bermula jam 8 malam di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah. Ia kemudian akan bergerak ke negeri Johor di Gelang Patah pada hari Sabtu, 16 April 2016 dan seterusnya ke Kedah pada hari Sabtu, 7 Mei 2016.

Sekretariat Muafakat Selamatkan Malaysia yang diselaraskan oleh YB Rafizi Ramli, Setiausaha Agung KEADILAN telah memanjangkan jemputan kepada YABhg Tun Mahathir Mohamad, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan YB Dato’ Seri Shafie Afdal untuk turut serta di dalam himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia pada 23 Mac 2016 di Padang MPAJ. Sekretariat masih menunggu pengesahan kehadiran dari mereka.

Semua pimpinan tertinggi Pakatan Harapan akan menyertai setiap himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia di setiap negeri. Selain itu, jemputan telah dipanjangkan kepada tokoh-tokoh NGO dan pimpinan lain yang menandatangani Deklarasi Rakyat.

Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia akan memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia menyertainya kerana acara pada 27 Mac 2016 yang dikendalikan oleh Dato’ Zaid Ibrahim adalah tertutup dan terhad kepada jemputan sahaja (yang dianggarkan hanya 1,000 orang).

Pakatan Harapan juga menyemput semua rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai Demonstrasi Mansuh GST yang bertemakan “Undur Najib, Mansuh GST” pada 2 April 2016 yang akan berkumpul di Dataran Merdeka.

Dalam kehangatan pertelingkahan politik yang berpanjangan, Pakatan Harapan berpendapat beban nombor satu rakyat iaitu cukai GST tidak boleh dikesampingkan. Demonstrasi Mansuh GST 2 April 2016 adalah bersempena genapnya setahun GST dilaksanakan.

Jawatankuasa Penganjur Demonstrasi Mansuh GST dipengerusikan oleh saya sendiri dan beberapa mesyuarat telah berlangsung dengan NGO dan aktivis. Pelbagai acara untuk menghebahkan demonstrasi ini telah disusun oleh sayap-sayap Pemuda Pakatan Harapan dan NGO selain dari ceramah bersiri ke seluruh negara membina momentum menjelang 2 April 2016.

Satu “grand finale” akan diadakan di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 31 Mac 2016 yang melibatkan semua pimpinan Pakatan Harapan.

Pada hari ini, saya memperkenalkan logo, kemeja-T dan iklan media sosial untuk mempromosikan Demonstrasi Mansuh GST 2 April 2016.

Saya yakin pengisian-pengisian sebegini akan membina gelombang rakyat yang akan meningkatkan tekanan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan dan memungkinkan tiga tuntutan Pakatan Harapan dipenuhi.

15 Mac 2016

Haji Mohamad Sabu
Pengerusi JK Penganjur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan