Pakatan Harapan Sabah

Pakatan Harapan Sabah
MENUJU AUTONOMI SABAH

Isnin, 2 Mei 2016

Rasuah Musuh Negara

RASUAH penyebab utama pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya, ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya.

Budaya rasuah juga boleh  menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.

Rasuah merupakan jenayah yang sangat besar dalam kehidupan seseorang tidak kira disisi masyarakat, kerajaan dan lebih-lebih lagi disisi agama suci kita. Rasuah amat dibenci oleh agama kerana rasuah boleh menjatuhkan tamadun manusia dan sesebuah negara.

Punca Rasuah

Individu yang mempunyai kepimpinan yang lemah, tidak yakin pada diri sendiri dan mudah dipengaruhi oleh orang lain untuk melakukan rasuah. Mereka mudah disogok dengan pelbagai kemewahan seperti harta benda, wang ringgit, kedudukan dan pangkat. Malah sejarah juga telah membuktikan bahawa bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon tumbang ekoran perbuatan rasuahnya dalam skandal ‘Water Gate’.

Pada masa yang sama, kurangnya didikan agama dan didikan moral mendorong berlakunya perbuatan rasuah dalam masyarakat kita. Individu yang tidak mempunyai iman yang kukuh dan mantap akan mudah terpesong. Golongan seperti ini akan menggunakan kedudukan dan peluang yang ada pada dirinya untuk menerima habuan tanpa berasa bersalah.

Rasuah juga berlaku kerana wujudnya birokrasi dalam sistem pemerintahan yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pegawai-pegawai kerajaan daripada berbagai-bagai peringkat mengambil kesempatan. Hal ini berlaku kerana proses pengurusan pentadbiran terpaksa melalui banyak saluran dan memerlukan masa yang panjang.

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata,  “Saya menyeru semua penjawat awam supaya sama-sama memerangi rasuah dengan menjadi pelapor rasuah. Sekiranya penjawat awam bekerjasama sudah pasti gejala ini dapat diperangi dengan lebih berkesan.”

Strategi SPRM

Pada tahun 2008, Parlimen telah meluluskan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menggantikan BPR. Ia selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, 52, berkata, proses transformasi yang dilakukan sejak tahun 2009 hingga 2013 menyaksikan pengukuhan dalam tiga bidang utama iaitu operasi, modal insan dan pencegahan.

Jelas beliau, proses transformasi ini akan memantapkan lagi SPRM dalam aspek memperbaiki struktur organisasi, memperkenalkan sistem pengurusan modal insan berdasarkan kompentensi, memperkenalkan sistem pengurusan bakat yang fleksibel dan membawa masuk tenaga pakar bagi meningkatkan operasi.

Selain itu, SPRM melalui Bahagian Pendidikan Masyarakat telah mengambil beberapa pendekatan yang lebih holistik untuk mendidik orang ramai menentang rasuah serta mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah. Melalui strategi ini, SPRM dapat menjelaskan isu-isu penting yang sering menjadi persoalan atau topik perbualan masyarakat.

Pendidikan Rasuah

Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussien pernah mengungkapkan: “Salah satu sifat seorang rakyat yang baik ialah jujur dengan diri sendiri dan individu lain kerana berlawanan sifat jujur ialah rasuah.”

Langkah pertama dianjurkan Kementerian Pelajaran ialah memperkenalkan dasar penerapan elemen pendidikan pencegahan rasuah dalam kurikulum di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi iaitu memasukkan elemen berkenaan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

Selain itu, Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa siri bengkel dan seminar pendidikan pencegahan rasuah kepada pengurusan sekolah dan guru bagi menerapkan pendidikan pencegahan rasuah dikalangan pelajar. Program ini dapat meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan kesedaran guru berhubung kesalahan rasuah dari segi teori dan praktikal.

Sementara itu, elemen-elemen kesedaran anti-rasuah dimasukkan ke dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Pengarah PenMas itu juga memberitahu bahawa beberapa universiti swasta turut menunjukkan minat untuk membentuk sekretariat yang seumpamanya di kampus mereka kerana mereka menghargai peranan penting yang dimainkan oleh sekretariat anti-rasuah dalam menyebar dan memperkukuh nilai-nilai murni seperti integriti dalam kalangan pelajar.

Pada majlis penutupan Program Etika Melatih Jurulatih Majlis Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di ibu negara, Najib berkata, “saya mahu menjadikan rasuah sebagai sejarah di Malaysia, dan tidak berlaku lagi pada masa depan.”

Sehubungan itu, rasuah harus diperangi secara serius di semua peringkat oleh setiap pihak. SPRM berpegang kepada slogan “Anda Boleh Lakukan Perubahan Perangi Rasuah”. Kita boleh berjaya dalam misi ini jika semua berpakat ke arah itu.

https://ekspresiduabelas.wordpress.com/2013/11/03/rasuah-musuh-negara/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan