Masalah Ekonomi Semasa – Apa Iktibarnya?
Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail, Ketua Biro Penyelidikan IKRAM.
Selama puluhan tahun, industri minyak dan gas telah memberi pulangan yang sangat lumayan. Negara yang mempunyai industri ini merupakan antara negara yang paling kaya di dunia. Sebagai contoh, menurut data dari Bank Dunia, pendapatan per kapita Qatar, sebuah negara pengeluar minyak dan gas, pernah mencecah USD140,649 (berbanding USD25,639 dalam kes Malaysia). Begitu juga pendapatan pekerja-pekerja di dalam sektor industri ini adalah jauh lebih tinggi berbanding sektor-sektor lain.
Namun demikian, keadaan tersebut sekarang telah berubah. Pada tahun 2015, seramai 130,000 pekerja sektor minyak dan gas di Amerika Syarikat telah dibuang kerja. Keadaan yang sama juga sedang berlaku di negara kita di mana hampir satu pertiga dari mereka yang kehilangan kerja di negara ini pada tahun lepas adalah dari sektor minyak dan gas. Berita tergempar baru-baru ini di mana sebuah institusi perbankan telah mengeluarkan arahan agar sebarang pinjaman tidak lagi diberikan kepada pemohon yang bekerja di dalam sektor minyak dan gas adalah satu berita yang tidak mengejutkan.
Punca utama kepada keadaan ini adalah kejatuhan harga minyak yang begitu mendadak. Dari harga yang melebihi USD120 se tong pada tahun 2012, ianya telah menjunam jatuh ke paras bawah USD30 se tong pada awal tahun ini. Akibatnya banyak syarikat minyak di seluruh dunia dalam keadaan yang sangat tenat. Satu laporan menyatakan bahawa hampir seratus syarikat perkhidmatan minyak di Amerika Syarikat telah muflis.
Ramai yang mungkin bertanya kenapakah harga minyak jatuh dengan begitu mendadak sekali? Jawapannya ialah kerana ekonomi dunia sekarang sedang dalam proses penguncupan. Faktor utama adalah penguncupan ekonomi negara China yang selama ini menjadi salah sebuah enjin utama kepada perkembangan ekonomi dunia. Terdapat banyak negara, termasuk negara di rantau Asia seperti Malaysia dan Singapura yang bergantung kepada ekonomi negara China.
Keadaan menjadi bertambah teruk dengan pertambahan penawaran minyak di dalam pasaran minyak dunia akibat penemuan minyak dalam batu batan (Shale oil) terutama sekali di Amerika Syarikat. Sementara itu, negara pengeluar minyak dunia seperti Arab Saudi dan ahli OPEC yang lain terus mengeluarkan minyak dengan banyak kerana itulah satu-satunya sumber pendapatan mereka. Dalam keadaan di mana penawaran bertambah sementara permintaan semakin berkurangan sudah tentu harga akan menjunam jatuh dan itulah sebabnya harga minyak mentah sekarang di paras yang begitu rendah.
Persoalannya ialah kenapakah ekonomi negara China dan negara-negara lain di dunia mengalami penguncupan ekonomi yang begitu mendadak sehingga menjejaskan pasaran minyak dengan begitu teruk? Menurut penganalisis kewangan Mr Batstone-Carr dari firma Charles Stanley Stockbrokers:[1]
“The world is drowning in debt while developing countries face falling birth rates and ageing populations.”
Terjemahan: “Dunia kini sedang lemas dalam belenggu hutang sementara negara-negara membangun menghadapi kejatuhan kadar kelahiran serta populasi yang semakin menua”
Selama ini ekonomi dunia telah berkembang pesat dengan bergantung kepada hutang semata-mata. Akibatnya beban hutang di seluruh dunia telah meningkat dengan cepat. Contoh terbaik adalah negara Jepun yang mana hutang kerajaannya telah mencecah 246 peratus berbanding saiz ekonomi negara tersebut atau KNKnya. Sementara itu, purata anak per keluarga adalah kurang dari 1.5 akibat dari kenaikan kos kehidupan yang mendadak apabila sektor kewangan negaranya berkembang dan kadar hutang meningkat. Jumlah hutang isi rumah di Jepun ialah hampir USD 3.2 trillion, iaitu satu jumlah sangat tinggi dan faktor inilah yang bukan sahaja membuat ekonominya susah untuk berkembang malahan juga mengakibatkan saiz keluarga menjadi bertambah kecil.
Masalah kenaikan tahap hutang yang cepat juga telah berlaku di negara China. Menurut satu laporan, hutang belum berbayar oleh syarikat dan isi rumah telah mencapai tahap 207 peratus berbanding KNK negara tersebut pada akhir bulan Jun 2015 berbanding hanya 125 peratus pada tahun 2008.[2]
Kajian oleh McKinsey Global Institute menunjukkan tren yang sama juga berlaku di seluruh dunia di mana semua negara telah meningkatkan tahap hutang berbanding KNK semenjak tahun 2007. Akibatnya jumlah hutang di seluruh dunia telah meningkat sebanyak USD 57 trillion. Menurut organisasi tersebut pada tahun lepas, jumlah hutang dunia adalah 286 peratus berbanding KNK global. Keadaan beban hutang yang tinggi ini menambahkan risiko kepada kestabilan kewangan dunia dan mengancam keupayaan ekonomi dunia untuk berkembang.[3]
Negara kita yang beramal dengan konsep ekonomi terbuka sudah tentu tidak akan dapat mengelak dari masalah dan cabaran yang melanda dunia ini. Tambahan pula, kerajaan sekarang terpaksa memotong perbelanjaan akibat dari pendapatan yang telah berkurangan dengan mendadak susulan dari kejatuhan harga minyak. Jika kerajaan mempunyai tabung kewangan yang banyak, sekurang-kurangnya ia akan dapat menggunakan tabung itu untuk mengurangkan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat. Malangnya kerajaan telah tidak berusaha untuk menabung semasa harga minyak tinggi dan pendapatan negara juga tinggi. Bahkan kerajaan berbelanja lebih dari pendapatan yang diterima selama 18 tahun berturut-turut sebelum ini. Akibatnya bukan sahaja lebihan tidak wujud, malah kerajaan sendiri sekarang berhutang sebanyak hampir RM700 billion.
Yang paling menyedihkan ialah rakyat juga telah tidak bijak dalam mengurus perbelanjaan dan akibatnya hutang isi rumah di negara kita juga adalah antara yang tertinggi di dunia iaitu hampir RM1 trillion atau 90% dari KNK negara. Dalam suasana ekonomi yang gawat, beban hutang yang tinggi ini sudah tentu akan membuat suasana tersangat sukar kepada sebahagian besar rakyat, terutama sekali di kalangan mereka yang kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji sementara hutang rumah dan kereta mereka masih belum dapat diselesaikan.
Pengajaran utama dari kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi ini ialah rakyat dan pemimpin dunia mesti peka tentang bahaya industri hutang yang menjadi punca utama kepada ketidakstabilan ekonomi. Perkembangan ekonomi yang dimangkinkan oleh industri hutang ini sebenarnya telah menimbulkan berbagai masalah lain yang berkait seperti suasana persaingan yang sengit dalam perniagaan, penerokaan sumber alam secara melampau dan berlebihan, fenomina inflasi dimana berlaku peningkatan harga barangan yang tinggi kerana bayaran boleh ditangguhkan, wujdunya keadaan turun naik harga yang cepat akibat spekulasi dan lain-lain masalah.
Benarlah firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 276 yang bermaksud:
“ Allah memusnahkan Riba dan menyuburkan sadaqah. Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan bergelimang dosa”.
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menghayati semula semua ajaran Al Quraan. Kita juga berdoa semoga kita semua dilindungi dari segala bala yang bakal timbul akibat dari kegawatan ekonomi yang sedang berlaku.
[1] http://www.thenational.ae/business/personal-finance/20160115/are-we-about-to-witness-global-financial-meltdown-again#page1
[2] http://www.bloomberg.com/news/articles/2015-07-15/china-s-debt-to-gdp-ratio-just-climbed-to-a-new-record-high
[3] http://www.thenational.ae/business/personal-finance/20160115/are-we-about-to-witness-global-financial-meltdown-again#page2
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan