Pakatan Harapan Sabah

Pakatan Harapan Sabah
MENUJU AUTONOMI SABAH

Khamis, 18 Februari 2016

Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah M’sia 2014: Kesenjangan wilayah makin meluas

Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah M’sia 2014: Kesenjangan wilayah makin meluas
(Oleh Ginie Lim)
Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (PPIR & KA) 2014 yang diterbitkan oleh Jabatan Statistik Malaysia baru-baru ini, Institut Rakyat mendapati kesenjangan wilayah semakin meluas di mana wujud peningkatan dalam jurang negeri paling tidak saksama dan lebih saksama, sebanyak 9 negeri kurang daripada pendapatan penengah nasional RM4,585 sebulan, serta kadar kemiskinan mutlak tidak menggambarkan realiti sebenar.
Laporan tersebut telah menunjukkan kemajuan dari segi kesenjangan pendapatan negara secara keseluruhan, di mana Pekali Gini menurun daripada 0.431 pada tahun 2012 kepada 0.401 pada tahun 2014. Namun, perbezaan antara negeri yang paling tidak saksama dengan negeri yang lebih saksama pada tahun 2014 lebih tinggi daripada tahun 2007. Ini bermakna jurang di antara negeri yang paling tidak saksama dan negeri yang lebih saksama semakin meluas.
Laporan kajian pendapatan ini juga memperlihatkan hanya 5 daripada 14 negeri mempunyai pendapatan isi rumah bulanan penengah melebihi pendapatan isi rumah bulanan penengah nasional RM4,585: Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Melaka dan Pulau Pinang. Kesenjangan wilayah berlaku kerana negeri-negeri yang melebihi pendapatan penengah nasional hanya tertumpu di pantai barat Semenanjung Malaysia.
gaji-isi-rumahKonsep kemiskinan yang digunakan dalam laporan ini mengambil kira Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan dan bukan makanan bagi setiap isi rumah. Di bawah PGK tetap Semenanjung Malaysia RM930,Sabah RM1,170 dan Sarawak RM990, kadar kemiskinan bagi keseluruhan negara jatuh daripada 1.7 peratus pada tahun 2012 kepada 0.6 peratus pada tahun 2014.
Institut Rakyat beranggapan angka ini tidak menggambarkan realiti sebenar kerana kadar kemiskinan diukur berdasarkan kemiskinan mutlak (absolute poverty) iaitu PGK tetap kerajaan. Jika kadar kemiskinan diukur dengan kadar kemiskinan relatif (relative poverty rate), garis kemiskinan relatif adalah RM2,293, atau separuh daripada pendapatan penengah RM4,585. Maka implikasinya adalah lebih 20 peratus isirumah berada di bawah RM2,293 pada tahun 2014.
Upah merupakan punca pendapatan isi rumah yang terbesar iaitu Pekerjaan Bergaji 65.0 peratus, diikuti oleh Bekerja Sendiri (16.0%), pendapatan daripada Harta & Pelaburan (112.4%) dan Pindahan Semasa diterima (7.6%). Namun disebabkan gaji minima RM900 sebulan yang nyata rendah daripada PGK tetap, upah bagi pekerja berkemahiran rendah kekal di bawah paras pendapatan garis kemiskinan.
Pindahan semasa seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) menyumbang kepada pertambahan pendapatan secara one-off. Sebuah isi rumah yang berpendapatan gaji minima mungkin melepasi PGK kerana menerima BR1M pada bulan tertentu, namun ia tetap akan berada di bawah PGK tanpa BR1M.
Masyarakat yang tidak saksama, baik disebabkan oleh pembangunan ekonomi yang hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja mahupun kekurangan infrastrutur sosial yang menjaminkan kesamarataan peluang, akan menimbulkan masalah kemiskinan dan pengangguran, seterusnya meningkatkan kos sosial.
Maka, dalam sebuah masyarakat yang sedang membangun seperti Malaysia, kadar kemiskinan relatif adalah penting kerana memberi pemahaman tentang ketidaksamaan pendapatan relatif dalam masyarakat. Semakin kecil kadar kemiskinan relatif, lebih saksama sesebuah masyarakat. Namun ukuran kaedah kemiskinan mutlak kekal penting bagi memastikan tiada isi rumah terjatuh ke dalam kancah kemiskinan tegar.
Kerajaan wajar memberi keutamaan untuk membangunkan industri yang mempunyai nilai tambah yang tinggi (higher value-added), menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menggalakkan pertumbuhan industri baru dan berdaya, serta menjamin hak pekerja untuk merundingkan gaji yang saksama bagi menambahkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan gaji.
Kerajaan juga wajar menjamin akses golongan berpendapatan menengah kepada perumahan mampu milik kerana sewa dinilai (imputed rent) bagi rumah sendiri yang diduduki oleh pemiliknya juga merupakan satu bentuk pendapatan.
Insitut Rakyat turut menyatakan rasa kesal dengan Laporan PPIR & KA 2014, seperti laporan tahun 2012, kerana tidak meliputi penempatan Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Kegagalan memberi gambaran lebih tepat mengenai kemiskinan negara ini memperlihatkan komitmen kerajaan dalam mencapai pertumbuhan ekonomi inklusif dan pengagihan kekayaan yang saksama masih perlu dipertingkatkan.
* Ginie merupakan Penolong Pengarah Penyelidik Institut Rakyat

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=66983

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan