Pakatan Harapan Sabah

Pakatan Harapan Sabah
MENUJU AUTONOMI SABAH

Ahad, 24 Januari 2016

Umno Kedah kunci mulut berhubung isu Mukhriz selepas jumpa Najib

Umno Kedah kunci mulut berhubung isu Mukhriz selepas jumpa Najib

Ada di antara pemimpin Umno Kedah berkata, tiada peluang kedua untuk Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Beberapa pemimpin Umno Kedah enggan mendedahkan hasil perbincangan selepas pertemuan dengan presiden Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, ada di antara mereka yang berkata, tiada peluang kedua akan diberikan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dua ahli Parlimen negeri itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dari Baling dan Dr Mansor Abd Rahman dari Sik, berkata mereka tidak boleh memberi komen mengenai apa yang berlangsung pada sesi bersama perdana menteri itu.

"Tidak boleh bagi komen, minta maaf. Terima kasih," kata Mansor kepada wartawan ketika ditanya mengenai pertemuan itu yang diadakan susulan sidang akhbar 14 ketua Umno bahagian pada Rabu yang mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada Mukhriz.

Sementara itu, Azeez berkata, sesi dengan Najib itu berjalan dengan baik, namun enggan mengulas lanjut mengenai keputusan yang dicapai.

"Semua berjalan dengan baik, tidak apa-apa. Tidak boleh komen," katanya yang juga pengerusi Tabung Haji.

Manakala, seorang ahli Umno Kedah yang enggan namanya didedahkan memberitahu, mereka tidak berhasrat memberi peluang kedua kepada anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

"Tidak ada peluang kedua buat beliau, kami dah sepakat," katanya yang sebelum itu turut menghadiri sesi bersama Najib itu.

Hari ini, pemimpin Umno negeri diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan pertemuan tertutup dengan Najib bagi membincangkan kemelut jawatan menteri besar.

Pada Rabu, 14 daripada 15 ketua Umno bahagian mengisytiharkan mereka hilang keyakinan terhadap Mukhriz dan mahu beliau disingkirkan sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Ahmad Bashah yang mengetuai sidang akhbar itu berkata, Mukhriz gagal menyatukan kepimpinan parti dan jentera, dan tiada strategi untuk Umno Kedah menghadapi pilihan raya umum ke-14. – 22 Januari, 2016.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilik Blog Tidak Bertanggung jawab Dengan Ulasan Yang Berbau Hasutan